17 January 2013

Misteri Dendam Seorang Istri

Isteri
Judul asal: Misteri dendam seorang istri
Penulis: S. Mara GD (Indonesia)
Penerbit: Buku Fixi (terjemahan versi Malaysia)
Tebal: 313 m/s

Sewaktu melangkah ke MPH, aku hampir terpekik bila ternampak nama S.Mara GD di rak buku! Di KL ni agak sukar mencari karya-karya fiksi Indonesia yang terkenal macam S.Mara GD.

Dia ni antara penulis misteri Indonesia yang aku suka karyanya. Aku mula membaca novel penulis ini semasa dalam tingkatan empat. Ketika itu perpustakaan daerah tempat tinggal aku, memang banyak menghimpun karya-karya dari Indonesia.

Buku yang ini aku pernah baca dalam bahasa asalnya. Dan kini aku menjumpainya dalam bahasa Malaysia. Tapi pada pandangan aku lebih baik baca dalam karya asal. Rasanya mana-mana karya pun kalau diterjemah akan kurang 'umpphh' kan.

Kali ini Kosasih dan Gozali terlibat dalam misteri kematian seorang isteri, Alma Dolores. Sang isteri ini merupakan bekas model terkenal dan isteri kepada penata rambut yang kaya raya, Yanis Sumbaga. Dia telah ditemui mati dengan tangan terkelar. Pada mulanya dia disyaki mati bunuh diri.

Tetapi autopsy menunjukkan Alma telah dibunuh sebelum tangannya dikelar. Kosasih dan sahabatnya Gozali mula menjejaki pembunuh dengan mewawancara orang-orang yang terlibat dalam hidup Alma. Beberapa orang mulai menjadi tersangka. Pihak polis mula menjurus ke arah Debi Malonda pekerja Yanis yang menjadi orang terakhir melihat Alma hidup.

Debi sendiri menyimpan rahsia besar tentang suami isteri tersebut. Kerana menyintai Yanis dalam diam selama lapan tahun, Debi secara tak lansung memang tidak menyukai Alma. Tetapi nekadkah dia menyingkirkan Alma?

Ada lagi Pandu Lukas bekas teman lelaki Alma yang merasa dipergunakan sebelum Alma berkahwin. Saat Alma membuat keputusan bernikah dengan Yanis Sumbaga, Pandu menyimpan dendam.

Seorang lagi yang benci dengan sikap lancang Alma ialah Athea, adik sepupunya yang pernah ditemui sedang membelek almari perkakas dapur oleh pembantu rumah dalam keadaan mencurigakan. Sedangkan pisau yang digunakan untuk mengelar tangan Alma adalah dari almari yang sama.

Tersangka utama yang disyaki main cinta dengan Debi ialah Yanis Sumbaga sendiri. Namun alibi Yanis yang kukuh pada hari kematian Alma memeningkan kepala Kosasih.

" Pergelangan tangannya memang terpotong, namun bukan itu yang menyebabkan kematiannya. Polis sedang menyiasat lebih lanjut. Itulah sebabnya kami harus mencari tahu siapakah orang yang mungkin mempunyai motif mencederakan anak puan." sela Major Jaffar.

"Mencederakan anak saya? Jadi Alma...Alma...tidak bunuh diri?" pekik perempuan itu histeria.

Jadi siapa pelakunya?

No comments: